Assalammualaikum dan salam sejahtera.
PENGENALAN
Masyarakat Melayu begitu berpegang teguh dengan adat resam
kerana ia dipercayai mempunyai kesan dalam kehidupan. Bagi masyarakat Melayu,
adat resam perkahwinan begitu dititikberatkan. Sesuatu upacara dalam peringkat
perkahwinan itu akan dijalankan dengan meriah dan penuh adat istiadat.
Adat perkahwinan Melayu merupakan adat resam yang paling
disayangi dan yang paling dipegang teguh oleh kebanyakan orang Melayu. Namun
pada zaman sekarang, tidak semua orang mengetahui apakah adat perkahwinan
Melayu yang sebenar.
Antara objektif yang telah dibincangkan adalah:
1. Memberi pendedahan yang mendalam terhadap adat
perkahwinan Melayu kepada masyarakat.
2. Mengajak masyarakat mengenal adat perkahwinan Melayu.
3. Mengajak masyarakat sama-sama memeliharawarisan nenek
moyang
4. Memberi petunjuk dan sedikit pengetahuan kepada golongan
yang bakal mengakiri zaman bujang mereka.
5. Memupuk semangat kerjasama antara ahli kumpulan
6. Membina keyakinan diri serta meningkatkan kemahiran sosial
setiap ahli kumpulan
ADAT MERISIK
Dalam adat perkahwinan masyarakat Melayu, terdapat beberapa
peringkat penting. Pertama sekali adalah peringkat merisik.
Adat ini juga dipanggil meninjau atau menengok. Dalam budaya
Melayu, adat ini merupakan tahap awal menjodohkan teruna dan dara, yang
melibatkan pertemuan antara wakil keluarga teruna dengan orang tua pihak dara.
Pertemuan tersebut dianggap penting untuk menghormati keluarga pihak dara,
sebagaimana ungkapan dalam adat Melayu kalau hendak meminang anaknya, pinanglah
ibu bapaknya terlebih dahulu. Ungkapan tersebut menjelaskan bahwa pandangan dan
restu orang tua perlu diperoleh terlebih dahulu dalam membuat keputusan yang
besar seperti perkawinan. Tujuan adat ini dilakukan adalah untuk memastikan
bahawa gadis yang dihajati oleh seorang lelaki itu masih belum berpunya. Ini
penting, kerana dalam Islam seseorang itu dilarang meminang tunangan orang. Di
samping itu, adat ini juga bertujuan untuk menyelidik latar belakang si gadis.
Lazimnya adat ini akan dijalankan oleh saudara mara terdekat pihak lelaki
seperti ibu atau bapa saudaranya. Prosesi merisik dilakukan dengan tertib dan
sopan untuk menjaga dan memelihara nama baik kedua belah pihak.
Bagi pihak si gadis, terdapat beberapa kriteria yang perlu
dipertimbangkan sebelum menerima lamaran pihak lelaki antaranya ialah lelaki
tersebut perlulah mempunyai latar belakang agama serta mempunyai pekerjaan yang
baik.
Apabila wakil pihak lelaki sampai di rumah si dara, para
wakil keluarga lelaki akan bercakap-cakap mengenai keadaan kehidupan,
pekerjaan, maupun isu-isu terkini sembil menikmati jamuan yang dihidangkan dan
dihantarkan sendiri oleh si dara. Pada saat si dara menghidangkan jamuan itulah
para wakil dari pihak lelaki berkesempatan untuk melihat wajah si dara. Setelah
itu, topik pembicaraan mulai difokuskan untuk menyampaikan maksud kedatangan
pihak teruna, dan pantun untuk merisik mulai diperdengarkan oleh juru cakap
mereka. Pada tahap ini, pihak teruna menyatakan kehendak hati untuk “memetik
bunga yang sedang menguntum” apabila si dara belum memiliki pasangan.
Pantun merisik ini diawali oleh pihak keluarga teruna yang
kemudian akan dibalas oleh pihak keluarga dara yang menanyakan maksud
kedatangan keluarga teruna.
Dari Pauh singgah
Permatang
Singgah merapat papan kemudi
Dari jauh saya datang
Karena tuan yang baik budi
Kalau gugur buah setandan
Sampai ke tanah baru tergolek
Kami bersyukur kepada Tuhan
Datang kami disambut baik
Berapa tinggi pucuk pisang
Tinggi lagi asap api
Berapa tinggi Gunung Ledang
Tinggi lagi harapan hati
Setelah pihak teruna selesai melantunkan pantun yang
mengungkapkan maksud hati mereka, maka pihak dara akan membalas pantun
sebagaimana berikut ini :
Perahu kolek ke hilir tanjung
Sarat bermuat tali temali
Salam tersusun sirih junjung
Apa hajat sampai kemari ?
Malam-malam pasang pelita
Pelita dipasang atas peti
Kalau sudah bagai dikata
Sila terangkan hajat di hati
Tidak pernah rotan merentang
Kayu cendana dijilat api
Tidak pernah tuan bertandang
Tentu ada maksud di hati
ADAT MEMINANG
Pada zaman silam, adat mengantar tanda akan
didahului dengan adat mengantar mas kahwin dan wang belanja kepada pihak
pengantin perempuan terutama apabila upacara perkahwinan itu ditangguhkan untuk
beberapa bulan. Antara barang tanda yang diserahkan kepada pihak perempuan
ialah cincin emas atau berlin serts diiringi dengan barang-barang smpingan
seperti buah-buahan,kasut,baju dan sebagainya. Barang-barang yang diterima
oleh pihak perempuan melambangakan pihak perempuan telah menyetujui
syarat-syarat perkahwinan tersebut. Antara syaratnya :
·
jika pihak lelaki gagal untuk berkahwin
dengan gadis yang ditunangkan,pihak perempuan tidak berhak untuk menuntut
semula.
·
jika pihak perempuan gagal memenuhi
pertunangan tersebut maka harus dikembalikan semula kepada pihak lelaki dengan
kadar sekali ganda baik dari segi bilangan ataupun nilainya.
ADAT BERTUNANG
Sebaik saja peminangan pihak lelaki diterima maka urusan
majlis pertunangan pula diadakan. Pihak
lelaki akan di wakili oleh saudara mara terdekat. Sempena majlis pertunangan,
satu kenduri diadakan di rumah pihak perempuan. Hantaran yang terdiri daripada
tepak sireh atau sireh junjung sebagai bingkisan utama, berupa sebentuk cincin
beserta hantaran lain seperti bunga
rampai, kuih muih, buah - buahan , pakaian dan lain-lain yang digubah cantik
untuk diberikan kepada pihak perempuan.
Pada kebiasaannya bilangan hantaran juga akan di hantar
dalam bilangan yang ganjil seperti lima, tujuh, sembilan, sebelas dan tiga
belas kerana bilangan genap dikatakan akan membawa implikasi yang tidak baik.
Sementara hantaran dari pihak perempuan pula akan melebihi hantaran daripada
pihak lelaki. Sekiranya pihak perempuan mempunyai kakak yang masih belum
berumah tangga ,maka pihak lelaki juga harus memberikan sumbangan berupa
hantaran yang akan ditetapkan oleh keluarga perempuan kerana dianggap peminangan tersebut sudah melangkah
bendul.
ADAT AKAD NIKAH
Upacara akad nikah merupakan istiadat yang diperlukan oleh agama dan undang-undang untuk menghalalkan perkahwinan.Dalam upacara tersebut, pengantin lelaki akan berpakaian haji atau berpakaian bangsa melayu manakala rombongan pihak lelaki pula akan membawa barang hantaran dan disusun di hadapan tetamu yang hadir. Imam yang dikenali sebagai tukang kadi akan memilih dua orang dari tetamu tersebut untuk dijadikan saksi serta memeriksa barang-barang yang dibawa termasuklah mas kahwin. Manakala imam tersebut akan menyemak kesemua maklumat pengantin untuk ditandatangani oleh kedua-dua mempelai. Seterusnya, akad akan dimulakan.
"..........bin.....aku nikahkan dikau dengan......binti......yang telah memperwakili ia akan daku dengan mas kahwinnya sebanyak .....dan belanjanya."
Ayat bagi lelaki untuk menjawab
" aku terima nikahnya ..........binti......dengan mas kahwinya ......dan belanjanya."
ADAT MANDI LIMAU
Adat mandi limau dilakukan adalah untuk memastikan keperawanan pengantin perempuan tersebut. Adat ini dilakukan pada awal pagi selepas malam bersatu pengantin tersebut. Emak pengantin akan memastikan keperawanan pengantin perempuan tersebut melalui pengantin lelaki yang dibekalkan dengan sehelai sapu tangan putih. Sapu tangan tersebut akan ditunjukkan kepada kedua-dua keluarga terutamanya keluarga lelaki. Setelah memastikan keperawanan pengantin tersebut, adat mandi limau dilakukan dengan memercikkan air sintok dan limau purut kepada kedua-dua pengantin tersebut. Selepas selesainya upacara tersebut, kedua-dua pengantin dibawa masuk kebilik dan memegang salah satu hujung sapu tangan tersebut. Sapu tangan yang digunakan dalam istiadat mandi akan diberikan kepada emak pengantin bukan sahaja sebagai hadiah tetapi untuk tolak bala.
ADAT BERINAI
Terdapat tiga adat berinai dalam masyarakat melayu iaitu berinai mencuri, yang dilakukan pada waktu petang selepas pengantin berinai waktu malam berandam. Kedua, berinai kecil dan berinai besar. Istiadat berinai besar akan dilakukan pada hari persandingan pengantin tersebut. Berinai besar ini memerlukan beberapa jenis bahan seperti nasi kunyit bertih, air daun setawar, inai dan tangkai daun wangi. Antara cara untuk melakukan berinai ini ialah mengambil sedikit nasi kunyit dan bertih dibalingkan kepada pasangan tersebut. Kemudian tangkai daun wangi dicelupkan dengan air daun setawar serta meletakkan sedikit inai dibahagian tengah tapak tangan pengantin lelaki dan perempuan. Selesai berinai seorang daripada tetamu atau orang yang paling tua akan membacakan doa kesyukuran dan kebahagiaan pasangan pengantin tersebut.
ADAT SANDING
Fasa terakhir dalam adat resam perkahwinan masyarakat Melayu
adalah upacara persandingan. Ketika ini
pasangan pengantin akan diandam dan dihias rapi oleh Mak Andam. Upacara
menyambut menantu oleh kedua pihak akan disambut dengan meriah bilamana
pengantin diarak dengan pasukan kompang dan pancak silat. Di sesetengah tempat,
pengantin lelaki terpaksa melalui beberapa halangan di hadapan tangga, di muka
pintu atau di atas pelamin untuk mendapatkan pengantin perempuan. Oleh itu
wakil pengantin lelaki perlu membayar tebus pintu atau tebus pelamin.
Pengantin akan bersanding di atas pelamin yang dihias indah
dan antara yang terdapat di atas pelamin ialah bunga pahar. Para jemputan
terutama dari wakil kedua mempelai akan dipersila untuk menepung tawar pasangan
pengantin di atas pelamin. Justeru tidak
hairanlah setiap majlis perkahwinan yang dilakukan secara penuh adat
mengganggap pasangan pengantin sebagai raja
sehari oleh kebanyakan masyarakat Melayu lantaran tertib dan teraturnya
pengurusan proses perkahwinan yang diamalkan sejak turun temurun.









Nice blog
ReplyDeleteinfo yang menarik
ReplyDeletecantiknya blog faii wuhuuuuuuu
ReplyDelete